Rukun Negara telah diishtiharkan pada tahun 1970 berikutan peristwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Pembentukan Rukun Negara merupakan satu ideologi negara yang boleh diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum/etnik untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu. Rukun Negara perlu menjadi pegangan, panduan dan amalan oleh seluruh rakyat Malaysia ke arah pemupukan dan pengukuhan semangat perpaduan ketaatan dan kecintaan kepada negara dan bangsa. Rakyat Malaysia perlu memahami sedalam-dalamnya lima prinsip Rukun Negara tersebut dan bukan sekadar melafazkannya.

Kelab Rukun Negara yang diwujudkan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan,penilaian dan pengamalan (5P) Rukun Negara dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Selain daripada matlamat untuk memperkenal dan menyedarkan mahasiswa dan mahasiswi tentang kepentingan Rukun Negara, kelab ini juga akan dijadikan sebagai salah satu strategi utama ke arah pengukuhan semangat perpaduan,saling menghormati agama, budaya, dan amalan serta integrasi nasional di kalangan mahasiswa/i pelbagai kaum dalam memupuk semangat kenegaraan. Bagi mencapai matlamat ini, aktiviti Kelab Rukun Negara akan dirangka dan dilaksanakan berlandaskan kepada lima prinsip Rukun Negara iaitu:

* Kepercayaan Kepada Tuhan

* Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

* Keluhuran Perlembagaan

* Kedaulatan Undang-Undang

* Kesopanan dan Kesusilaan